Tuesday, 9 December 2014

Walaupun Pendosa Tegar, Sang Pencipta Masih Menerima.


 
Walaupun Pendosa Tegar, Sang Pencipta Masih Menerima.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Tuhan yang Esa yang Maha Hebat dan Maha Perkasa. Dengan izin Allah jualah yang memberi kita ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan pada hari ini. Berapa ramai manusia yang Allah panggil menghadapnya hari ini, tetapi mengapa belum tiba giliran kita? Ini membawa makna bahawa Allah masih memberi kita kesempatan untuk mencuci hati kita yang penuh dengan kelamnya dosa.

Kita manusia yang sering melakukan dosa. Entah kecil entah besar dosa yang kita lakukan. Namun, sebagai seorang manusia yang telah Allah ciptakan maka tidak terlepaslah daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Kita maklum bahawasanya tidak ada manusia yang sempurna kecuali junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. .

Dosa adalah merupakan suatu perkara yang menyebabkan kehidupan seseorang manusia hampir dengan maksiat. Dosa menyebabkan seseorang berasa gelisah, tidak tenteram, tenang yang tidak hampir tiba dan kepanasan jiwa yang memberontak. Dosa tidak akan terhapus kecuali dengan kembali kepada Sang Pencipta yang Maha Kekal dalam erti kata sebenar-benar taubat. Dengan taubatlah dosa akan terkikis dengan sendirinya daripada bertakhta dalam sanubari setiap manusia.

 

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Az-Zumar : 53



"Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Ayat di atas menerangkan kepada kita tentang perihal betapa baiknya Allah S.W.T. kepada kita. Walaupun kehidupan kita yang puluhan tahun penuh dengan dosa-dosa besar dan kita mengibaratkan dosa kita seperti pepasir di lautan yang tidak terkira banyaknya, namun setelah sahaja kita kembali kepada Allah yang Maha Pengampun, maka Dia tidak akan berkira dengan dosa-dosa kita yang lalu. Hanyasanya kita perlu yakin kepada Allah yang Maha Pengampun. Kerana itulah Allah S.W.T. berpesan kepada kita supaya tidak berputus asa dari rahmatNya. Sebaik sahaja kita kembali kepada Allah S.W.T. maka Dia akan mengampuni seluruh dosa kita. Perkara ini amat mudah bagi Allah. Dialah yang mengampunkan dosa siapa sahaja yang Dia kehendaki. Bahkan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Walaupun pendosa, Sang Pencipta masih menerima.

 

Kita manusia yang selalu melampaui batas. Selalu sahaja kita berbuat dosa tak kira waktu dan ketika. Dosa zina, judi, minum arak dan syirik? Nampak sahaja orang lebih baik daripada kita, kita terus mendengki. Bahkan mengumpat dan mengata menjadi budaya rasmi setiap hari. Apabila musibah menimpa, kita terus mencerca dan mengkeji. Apakah kita lupa bahawa semuanya datang daripada Allah yang Maha Memiliki?

 Dengan sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Dia mengingatkan kepada kita sebagai hambaNya supaya tidak berputus asa dari rahmat Allah dalam bicara yang mudah difahami tidak berhenti berharap kepada Allah. Walaupun pendosa, Allah tetap memberi peluang untuk kita kembali kepadaNya.

Dan bila mana kita bertaubat kepada Allah, kita menyesal di atas segala perbuatan kita, kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benarnya lalu Allah mengingatkan bahawa, Dialah yang mengampunkan segala dosa. Allah menerangkan kepada kita Dia mengampunkan segala dosa kita yang lalu. Apakah kita hendak melambat-lambatkan taubat kita kepada Allah setelah kita tahu bahawa Allah mengampuni seluruh dosa bagi hambaNya yang bertaubat?

Dengan tenangnya, marilah kita melembutkan hati kita untuk kembali kepada Allah. Kembali menghambakan diri kepada Allah. Kita tinggalkan segala yang tidak bermanfaat kerana Allah.

Semoga dengan apa yang kita lakukan di muka bumi Allah ini, Allah redh ke atas kita. Semoga amal soleh dan taubat kita diterima oleh Allah. Semoga Allah mengampuni seluruh dosa-dosa kita dan mempertemukan kita di Jannatul Firdausil ‘ala. Segala yang baik datang daripada Allah S.W.T. dan segala yang cela datang dari kelemahan saya sendiri. Allahumma solli ‘ala Muhammad. Wabittaufiq wal hidayah, assalamualaikum w.b.t.