Walaupun Pendosa Tegar, Sang Pencipta Masih Menerima.
Dengan nama Allah yang Maha
Pemurah dan Maha Penyayang. Allahumma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad.
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Tuhan yang Esa yang Maha Hebat dan
Maha Perkasa. Dengan izin Allah jualah yang memberi kita ruang dan peluang
untuk meneruskan kehidupan pada hari ini. Berapa ramai manusia yang Allah
panggil menghadapnya hari ini, tetapi mengapa belum tiba giliran kita? Ini membawa
makna bahawa Allah masih memberi kita kesempatan untuk mencuci hati kita yang
penuh dengan kelamnya dosa.
Kita manusia yang sering
melakukan dosa. Entah kecil entah besar dosa yang kita lakukan. Namun, sebagai
seorang manusia yang telah Allah ciptakan maka tidak terlepaslah daripada
melakukan kesilapan dan kesalahan. Kita maklum bahawasanya tidak ada manusia
yang sempurna kecuali junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. .
Dosa adalah merupakan suatu
perkara yang menyebabkan kehidupan seseorang manusia hampir dengan maksiat. Dosa
menyebabkan seseorang berasa gelisah, tidak tenteram, tenang yang tidak hampir tiba
dan kepanasan jiwa yang memberontak. Dosa tidak akan terhapus kecuali dengan
kembali kepada Sang Pencipta yang Maha Kekal dalam erti kata sebenar-benar
taubat. Dengan taubatlah dosa akan terkikis dengan sendirinya daripada
bertakhta dalam sanubari setiap manusia.
Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Az-Zumar : 53
“"Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah
kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya
Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Ayat di atas menerangkan kepada
kita tentang perihal betapa baiknya Allah S.W.T. kepada kita. Walaupun kehidupan
kita yang puluhan tahun penuh dengan dosa-dosa besar dan kita mengibaratkan
dosa kita seperti pepasir di lautan yang tidak terkira banyaknya, namun setelah
sahaja kita kembali kepada Allah yang Maha Pengampun, maka Dia tidak akan
berkira dengan dosa-dosa kita yang lalu. Hanyasanya kita perlu yakin kepada
Allah yang Maha Pengampun. Kerana itulah Allah S.W.T. berpesan kepada kita
supaya tidak berputus asa dari rahmatNya. Sebaik sahaja kita kembali kepada
Allah S.W.T. maka Dia akan mengampuni seluruh dosa kita. Perkara ini amat mudah
bagi Allah. Dialah yang mengampunkan dosa siapa sahaja yang Dia kehendaki.
Bahkan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Walaupun pendosa, Sang
Pencipta masih menerima.
Kita manusia yang selalu
melampaui batas. Selalu sahaja kita berbuat dosa tak kira waktu dan ketika. Dosa
zina, judi, minum arak dan syirik? Nampak sahaja orang lebih baik daripada kita,
kita terus mendengki. Bahkan mengumpat dan mengata menjadi budaya rasmi setiap
hari. Apabila musibah menimpa, kita terus mencerca dan mengkeji. Apakah kita
lupa bahawa semuanya datang daripada Allah yang Maha Memiliki?
Dengan sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha
Penyayang, Dia mengingatkan kepada kita sebagai hambaNya supaya tidak berputus
asa dari rahmat Allah dalam bicara yang mudah difahami tidak berhenti berharap
kepada Allah. Walaupun pendosa, Allah tetap memberi peluang untuk kita kembali
kepadaNya.
Dan bila mana kita bertaubat
kepada Allah, kita menyesal di atas segala perbuatan kita, kita kembali kepada
Allah dengan sebenar-benarnya lalu Allah mengingatkan bahawa, Dialah yang
mengampunkan segala dosa. Allah menerangkan kepada kita Dia mengampunkan segala
dosa kita yang lalu. Apakah kita hendak melambat-lambatkan taubat kita kepada
Allah setelah kita tahu bahawa Allah mengampuni seluruh dosa bagi hambaNya yang
bertaubat?
Dengan tenangnya, marilah kita
melembutkan hati kita untuk kembali kepada Allah. Kembali menghambakan diri
kepada Allah. Kita tinggalkan segala yang tidak bermanfaat kerana Allah.
Semoga dengan apa yang kita
lakukan di muka bumi Allah ini, Allah redh ke atas kita. Semoga amal soleh dan
taubat kita diterima oleh Allah. Semoga Allah mengampuni seluruh dosa-dosa kita
dan mempertemukan kita di Jannatul Firdausil ‘ala. Segala yang baik datang
daripada Allah S.W.T. dan segala yang cela datang dari kelemahan saya sendiri.
Allahumma solli ‘ala Muhammad. Wabittaufiq wal hidayah, assalamualaikum w.b.t.
No comments:
Post a Comment